Showing posts with label Cerita Perniagaan. Show all posts
Showing posts with label Cerita Perniagaan. Show all posts

Sunday, June 6, 2021

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri

 Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera semua.

Hari ni saya nak berkongsi tentang skim di bawah perkeso iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

sumber gambar:google images


Skim ni khusus untuk golongan yang bekerja sendiri. Contohnya macam saya, seorang penjaja,maka saya bekerja sendiri,jadi saya layak untuk mohon skim ini.

Saya sebenarnya baru sahaja join skim ini.

Tapi tak apalah, saya cuma nak kongsi serba-sedikit sahaja pasal skim ni.

Saya kongsikan serba-sedikit maklumat mengenai skim ini yang saya ambil daripada laman web perkeso.

"Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Sebagai permulaan skim ini diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berkuatkuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain."


19 sektor lain tu termasuk macam saya,golongan penjaja. Nak info lebih lanjut boleh layari laman web perkeso~

https://www.perkeso.gov.my/perkhidmatan-kami/perlindungan/akta-keselamatan-sosial-pekerjaan-sendiri-2017-akta-789/skim-keselamatan-sosial.html


Saya ambil pelan caruman yang paling murah iaitu rm13.10 sebulan,jadi setahun rm 157.20.

Ok lah tu,sebab saya pun bujang, tak ada anak isteri,maka caruman ni pun dah kira cukup untuk saya.

Banyak faedah jika kita masuk pelan caruman Perkeso ni.

Antara faedahnya,kalau kita kemalangan,atau kita meninggal,contoh kalau saya meninggal,terlibat dalam kemalangan semasa nak pergi berniaga, maka melalui skim ini, waris saya,iaitu ibu saya akan dibayar oleh skim ini melalui faedah orang tangungan. Jumlah bayaran mengikut pelan caruman yang kita ambil. Banyak lagi sebenarnya faedah skim ini.

Maklumat lanjut tentang faedah yang terdapat dalam skim ni,boleh layari laman web ni~

https://www.perkeso.gov.my/images/sps/risalah/Risalah_SPS_BM10Jan2020.pdf

Harapnya,sedikit sebanyak adalah info atau maklumat yang boleh diperolehi daripada post ini.

Oh,saya juga tak mewakili perkeso ya atas penulisan saya ini, maklumat yang saya perolehi semuanya daripada website perkeso.

Saya kongsikan sebab saya salah seorang pencarum dalam skim ini.

Moga ada manfaatnya post kali.

Semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.

insya-Allah...

amin.

Saturday, September 26, 2020

Kesan covid terhadap penjaja

 Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera semua.

Sedikit perkongsian tentang hal perniagaan.

Saya tak pandai dalam bab niaga ni,sebab saya cuma seorang penjaja kecil.

Tapi,tak salah saya berkongsi sedikit ilmu atau maklumat yang saya dapat hasil daripada pengalaman berjaja.

Sekarang ni,kesan daripada covid 19 memang terasa khususnya kepada peniaga atau penjaja kecil seperti saya ni.

Waktu operasi perniagaan dihadkan.

Contohnya macam saya yang berniaga di pasar borong,seawal jam 9.00 pagi siren sudah dibunyikan supaya kami kemas barang-barang niaga. Pukul 10 pagi tidak dibenarkan seorang pun penjaja berada dalam kawasan pasar.

Sedih juga tapi nak buat macam mana, lebih baik daripada tak dapat berniaga langsung.

Pelanggan tetap seperti tauke kedai makan atau warung juga ramai yang tak datang membeli kerana tidak berniaga sekaligus memberi kesan kepada penjaja.

Sekarang ni,kesan daripada covid juga menyebabkan harga barang meningkat. Susah untuk penjaja seperti kami untuk dapat pusing modal.

Nak buat macam mana,nak tak nak,kena juga ambil,kalau tak,tak adalah barang untuk diniagakan.

Pasar tempat saya berjaja pula cuma membuka dua pintu sahaja,satu pintu masuk dan satu pintu keluar. Hal ni lagi menyebabkan ramai yang malas nak datang sebab pintu masuk agak jauh daripada tempat letak kenderaan/parking.





Sekarang ni lebih ramai yang membeli secara dalam talian sahaja. Order online nanti barang sampai. Jadi orang atau pengunjung pasar juga semakin berkurangan. Sekarang ni harapkan hari hujung minggu,atau hari cuti am baru ramai sikit yang datang ke pasar.

Tapi nak buat macam mana, nak tak nak saya kena datang berjaja juga sebab ini merupakan sumber pendapatan utama keluarga saya.

Sekurang-kurangnya saya masih dibenarkan berniaga/berjaja.

Moga cepatalh virus covid ni hilang.

Moga ekonomi Malaysia kembali pulih.

Moga kita semua dimurahkan rezeki.

Moga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.

Insya-Allah...

amin.

Sunday, May 3, 2020

Berjaja di waktu PKP

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera semua.

Moga cepatlah virus covid ni dihapuskan.

Moga keadaan negara kembali pulih seperti biasa.

Moga kita semua menang lawan virus ini.

Pasar Borong Mphtj - Halaman Utama | Facebook
sumber gambar:google images

Baiklah, saya nak kongsikan sedikit cerita tentang pekerjaan saya iaitu berjaja kecil-kecilan di pasar borong.
Memang sukar, tetapi nak buat macam mana. Jika tak keluar berjaja,tak adalah pendapatan saya.

Pasar borong tempat saya berjaja dibenarkan beroperasi seawal 4 pagi sehingga pukul 9.30 pagi.

Pukul 4 itu biasanya lori yang menghantar ikan atau sayur akan menjalankan operasi mereka. Manakala aktiviti berjual beli pula seawal 5 atau 6 pagi sehingga pukul 9.30 pagi.

Cuma bila PKP ni,maka pembeli akan diperiksa dengan ketat. Pintu masuk hanya ada satu laluan begitu juga dengan pintu keluar.

Maka ramailah yang terpaksa beratur, ada yang malas nak beratur akhirnya pulang sahaja ke rumah masing-masing.

Mereka yang membawa anak kecil dan tidak memakai topeng muka juga tidak dibenarkan masuk.

Jujurnya,memang agak terkesan dengan PKP ni, tetapi demi keselamatan maka bersabar sahaja.

Ini semua dilakukan demi kebaikan semua pihak.

Oh ya, akibat covid ni, tempahan kerisik juga agak terkesan kerana ramai peniaga bazar Ramadan tidak dapat berniaga. Maka tiadalah tempahan daripada mereka.

Kebiasaannya, bulan Ramadan tempahan kerisik agak memberangsangkan cuma tahun ni sahaja tidak seperti tahun-tahun lepas.

Semoga cepatlah masalah ni dapat diatasi.

Moga dengan kehadiran bulan Ramadan ini,virus ini dapat dihapuskan.

Moga kita semua dapat menjalani kehidupan normal kembali.

Mohon doa semua.

Moga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.

insya-Allah...

amin.

Friday, January 18, 2019

Aktiviti rutin seorang penjaja kecil.

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Aktiviti rutin seorang penjaja kecil.

Pagi selepas subuh akan ke tapak niaga untuk menjual. Saya menjual ulam-ulaman, sayur kampung, kerisik,belacan,dan kadangkala buah-buahan.

Selepas itu, selesai berniaga kira-kira dalam pukul 10 atau 11 pagi, saya akan singgah sebentar di warung untuk bersarapan, sekaligus makan tengahari. (brunch=breakfast+lunch).


Kemudian saya akan sampai di rumah dalam pukul 12 atau 12 lebih.

Saya akan berehat sebentar, tidur sekejap sebelum masuk waktu Zohor.

Selepas itu,selesai buat apa yang patut,saya akan mula mesin kelapa...untuk dijadikan kerisik.

Sehari dalam 20-30 biji kelapa yang saya larat nak mesin.

Selalunya dalam pukul 2 petang,saya akan mula mesin kelapa dan akan habis kira-kira dalam pukul 5 petang.

Kemudian, saya akan berehat sebentar. Selepas itu, saya akan mula mencari barang niaga untuk esok. Kebiasannya saya akan pergi ke rumah jiran-jiran di kampung. Saya akan mencari seperti nangka sayur, mangga, daun pisang,pisang, serai, dan apa yang dirasakan boleh dijual dan yang dibenarkan di tapak tempat saya berjaja.

Selalunya, sebelum atau nak dekat Maghrib saya akan pulang semula ke rumah.

Selepas itu, saya berehat sebentar dan makan malam.

Selepas Isya', saya akan mula menggoreng kelapa yang dimesin petang tadi untuk dijadikan kerisik.

Selesai menggoreng dalam pukul 11 atau 11 lebih, saya akan mula bersiap untuk tidur. Sebelum tidur,saya akan cuba selesaikan apa yang patut untuk mula berjaja esok hari.

Saya akan cuba berusaha untuk bangun seawal 4.30 pagi.Tujuannya supaya saya dapat mesin kelapa untuk dijadikan kelapa parut. Jika lewat sedikit bangun maka tak sempat pula.

Begitulah rutin hidup saya setakat ini.

Doakan saya murah rezeki ya.

Saya juga mendoakan semua yang membaca post ini dimurahkan rezeki.

Insya-Allah...

amin.

Friday, January 11, 2019

Sebungkus nangka muda

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sedikit perkongsian daripada saya tentang perkara-perkara yang dilalui dalam perniagaan saya lakukan.

Saya ada menjual nangka muda. Nangka muda yang biasanya untuk dijadikan lauk seperti masak lemak nangka.

Kebiasaannya, nangka ini saya ambil daripada seorang makcik. Rumahnya memang ada 2,3 batang pokok nangka.

Baik, sebiji nangka muda yang saya ambil biasanya saya kira dalam anggaran rm2-2.50 sebiji... selalunya saya akan ambil 4 biji, jadi jumlah modal semua rm10.

Lepas tu abang saya akan tolong potong untuk dipek/dibungkus dan dijual semula dengan anggaran kasar sebungkus beratnya setengah kilo dan dijual dengan harga antara rm1.50 hinggalah rm2.00 sebungkus...kalau beli banyak/borong akan dapat harga rm1.50 satu...kalau beli sebungkus RM 2.00.. Saya belum mahir potong nangka lagi.

Tetapi dalam 4 biji nangka tadi bukan semua boleh diambil..kadang 2 biji terpaksa dibuang sebab dah rosak. Maka akan menjejaskan untung yang saya dapat.

Modal kecil, rm10..lepas tu kalau ada rosak maka jumlah bungkus nangka yang dapat juga berkurangan. Kadangkala saiz nangka juga memainkan peranan. Saiz kecil biasanya bungkusan nangka yang dapat juga tak banyak.

Kiraan mudah, 4 biji nangka yang diambil,tolak 2 rosak...maka hanya 2 biji yang boleh digunakan.

Jadi kalau dah 2 biji,berapa bungkus yang boleh dapat? Dapat pulang modal dan dapat untung sikit pun saya dah bersyukur sangat.

Pernah juga, modal pun tak pulang. Hanya dapat penat petik nangka dan masa yang digunakan.

Tetapi inilah pengalaman dan kisah yang harus dilalui oleh penjaja kecil-kecilan seperti saya.

Suka tak suka kena terima jugalah.

Moga saya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan perjalanan dalam perniagaan ini.

Saya doakan kalian yang membaca ini juga murah rezeki dan dipermudahkan perjalanan hidup. insya-Allah.

Saja saya nak berkongsi sedikit kisah saya dalam berjaja kecil-kecilan ini.

Moga adalah sedikit tips yang adalah dalam "posting" ini.

insya-Allah.amin.

Monday, November 26, 2018

Buah Nam-Nam @ Katak Puru

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Masa berjaja dekat pasar,ada seorang pelanggan ni tanya,ada jual pucuk nam-nam tak?termenung sekejap..tak pernah dengar..

Google pasal buah nam-nam ini atau nama lainnya buah katak puru, sedap dibuat lauk/ulam rupanya ya..kena cuba ni.

Saya kongsi artikel yang saya ambil daripada suratkhabar Sinar Harian ini tentang buah nam-nam atau juga dipanggil buah katak puru.

Ingat nak cuba tanamlah,senang ke nak hidup?
Image result for buah nam nam malaysia
buah nam-nam,sumber gambar:google images

Nam nam dipanggil buah katak puru
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 26, 2011
Buah katak puru? Kenapa namanya begitu? Begitulah gelaran yang dipanggil kepada buah nam-nam kerana mempunyai kulit luaran yang kurang menarik dan menggerutu.

Walaupun nama dan bentuk luarannya tidak secantik buah-buahan yang lain, namun bagi mereka yang biasa merasai buah ini tentu membuatkan air liur terasa kecur.

Buah ini memang sedap dicicah dengan sambal kicap, garam atau kuah rojak. Ada juga yang membuat sambal ikan dengan menumbuk ikan dan cili bersama-sama buah katak puru.

Memang sedap jika dimakan bersama nasi yang masih panas. Malah, bukan itu sahaja, buah yang kaya dengan vitamin C ini juga boleh dijadikan jus.

Buah nam nam yang bersaiz di antara lima hingga enam sentimeter (cm) ini mempunyai rasa masam kelat ketika muda dan akan berubah menjadi masam manis apabila masak.

Bijinya pula berbentuk leper. Selain dimakan segar, daun dan buah nam nam juga mempunyai khasiat perubatan.

Kebanyakan orang-orang terdahulu mempercayai dengan memakan buah dan pucuk pokok ini dapat mengubati penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ada juga yang menjadikannya ramuan dalam ubat bagi merawat batu karang. Selain itu, daunnya juga boleh dikeringkan dan dijadikan seperti minuman teh.

Pokok nam nam atau nama saintifiknya Cynometra Cauliflora merupakan tumbuhan unik kerana berbunga dan berbuah di batang.

Pokok yang dikatakan berasal dari Borneo ini mempunyai ketinggian di antara tiga hingga enam meter (m) sahaja.

Pokok ini masih lagi ditemui di Semenanjung Malaysia terutama di kawasan Utara dan Pantai Timur. Pokoknya mudah tumbuh melalui kaedah tanaman biji ataupun tut.

Ia memerlukan kawasan yang bersaliran baik dengan sinaran matahari yang cukup untuk tumbuh subur

sumber : sinar harian http://www.sinarharian.com.my/mobile/rencana/nam-nam-dipanggil-buah-katak-puru-1.2401

Monday, September 17, 2018

Cabaran berniaga

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Masa dalam perjalanan balik lepas berniaga,hujan pula turun.

Tumpang berteduh sekejap dalam khemah orang jual buah-buahan.

Maklumlah, naik motor sahaja pergi berniaga.

Tak larat dah nak tempuh hujan,dah dua tiga hari kena hujan.

Biasalah dalam berniaga.

Cuaca tak menentu,tadi cerah sahaja tiba-tiba hujan turun.

Cabaran dalam berniaga ni bermacam-macam.

Sabar sahajalah.

Oh ya,sebelum terlupa.

Selamat Hari Malaysia 16 September.

p.s-jangan lupa join contest isi dialog kreatif asif dan tar.

Saturday, July 28, 2018

Asif & Tar


Sunday, March 11, 2018

Panduan Asas Menjaja Kecil-Kecilan

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Sedikit perkongsian/tips atau panduan asas bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan kecil-kecilan...

Hasil tips atau panduan ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sepanjang saya membantu emak saya berjaja kecil-kecilan.

Tips/panduan menjaja kecil-kecilan.

1. catat duit yang keluar/masuk 
2. bawa duit syiling atau duit untuk pulang baki kepada customer
3. alas meja supaya meja kita nampak kemas
4.biasanya bila berniaga, ramai sahaja penjaja jual benda yang sama, rezeki masing-masing,tak perlu  dengki tengok barang mereka lebih laku.
5. asing duit berniaga dengan duit perbelanjaan harian.
6. beli payung untuk berniaga
7.modal kecil biasanya pulangannya pun kecil, sabar sahajalah..
8. ada buku nota kecil untuk urusan berjaja/perniagaan



Baiklah, saya kongsikan 8 sahaja dahulu tips berjaja kecil-kecilan ini.

Jujurnya, saya hanya menolong emak saya berjaja.

Tetapi tips dan panduan ini merupakan hasil pengalaman dan pemerhatian saya dalam membantu emak saya.

Kebiasaannya, kita hanya bersemangat pada peringkat permulaan sahaja,lepas tu dah malas nak teruskan..contoh catit urusan perniagaan kita itu, biasanya mula-mula sahaja kita semangat lepas tu buku tu pun hilang entah kemana...biasalah... jadi untuk mengelak masalah ini berlaku, kita buat perlahan-perlahan dahulu. Kita boleh tulis urusan perniagaan kita itu untuk tempoh seminggu dahulu, dah selesa,kita boleh "upgrade" tulis setiap hari pula. Konsisten itu yang lebih utama berbanding semangat membara yang hanya bertahan seminggu.

Moga ada manfaatnya "post" kali ini.

insya-Allah...

amin.

Sunday, January 22, 2017

3 kuntum 2 ringgit

Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Image result for bunga kantan hd
sumber gambar:googleimages
                                                     


"3 kuntum 2 ringgit," 

Ini merupakan harga bagi bunga kantan yang dijual oleh seorang penjaja di pasar borong tempat saya berniaga.

Sebenarnya, tindakan seperti ini hanya menyebabkan berlakunya kerugian kepada penjaja-penjaja lain.

Penjaja lain termasuk saya menjual sekuntum bunga kantan dengan harga rm1.00  Manakala modal bagi sekuntum bunga kantan yang dijual pembekal kepada penjaja seperti saya ialah 80 sen sekuntum.

Maka tindakan penjaja tadi yang menjual harga bunga kantan 3 kuntum rm 2.00, maka harga bagi sekuntum bunga kantan yang dijual penjaja ini lebih kurang 60 sen sekuntum.

Tindakan penjaja ini yang bertindak menjual harga bunga kantan lebih rendah berbanding penjaja lain, mungkin akan memberi keuntungan kepada penjaja ini. Penjaja ini tidak perlu membayar duit lesen dan sewa tapak yang dibayar penjaja lain seperti saya dan penjaja lain.

Penjaja ini berniaga dengan tidak mempunyai lesen berniaga, malah mempunyai kebun bunga kantan. Maka penjaja ini boleh menjual dengan harga seperti ini. Tetapi, tindakan ini akan memberi kesan kepada penjaja-penjaja lain.

Pengguna pastinya akan membeli di tempat yang lebih murah kan?

Tidak salah mahu berniaga sekali, lebih ramai berniaga lebih meriah dan seronok, tetapi usahlah bermain harga sehingga menyebabkan berlakunya kejatuhan harga sesuatu barang dagangan.

Sekiranya penjaja ini menjual sekuntum bunga kantan dengan harga 60 sen, sedangkan penjaja lain menjual sekuntum bunga kantan dengan harga rm1.00, maka pembeli akan membeli daripada penjaja yang mana? rm 1.00 atau 60 sen??

Hasil untung menjual sekuntum bunga kantan yang biasanya diperolehi penjaja kecil seperti saya ialah 20 sen sahaja. Jika penjaja ini menjual bunga kantan dengan harga 60 sen, sedangkan modal sekuntum bunga kantan 80 sen, maka bukan sahaja penjaja lain tidak mendapat untung, malah tidak pulang modal jika mengikut tindakan penjaja ini menjual sekuntum bunga kantan 60 sen, malah harus ditambah pula modal sebanyak 20  sen.

Tulisan ini bukan bermaksud saya mempunyai sifat dengki, atau iri hati terhadap penjaja lain. Tetapi sebagai penjaja, bukankah kita inginkan keuntungan walaupun sedikit dalam urusan perniagaan.

Hendak ditanam sendiri bunga kantan, bukanlah semua penjaja mempunyai tanah untuk bercucuk tanam. 

Jika penjaja tersebut mengikut harga pasaran dengan menjual sekuntum bunga kantan seperti penjaja lain, rm 1.00, bukankah penjaja itu juga yang beroleh keuntungan?

Saya tidak mahu berjumpa atau bercakap secara terus dengan penjaja ini, takut nanti dikatakan saya ini mempunyai sifat dengki terhadap bangsa sendiri untuk berniaga dan mencari rezeki.

Moga hasil penulisan di blog ini, dapat menjadi panduan, jika dizinkan oleh Allah s.w.t akan sampai kepada penjaja ini atau kepada sesiapa sahaja yang mendapat manfaat hasil daripada "post" ini.

Ini bukan tulisan kerana sifat dengki, cuma ingin berkongsi suka duka dalam perniagaan walaupun cuma berjaja kecil-kecilan.


Semoga ada manfaatnya "post" kali ini.

insya-Allah...

amin.

Friday, January 20, 2017

50 sen

Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

                                                                    Image result for 50 sen

Semasa sedang berjaja di pasar borong, datang seorang pelanggan, seorang akak, usianya saya agak dalam lingkungan umur 30 tahun ke atas.

Tingkah lakunya agak tergesa-gesa, mungkin sedang mengejar masa.

Sesampainya depan meja saya, tangannya mencapai satu bekas kerisik yang saya jual.

"Berapa ni dik kerisik?" soal akak tersebut.

2.50 kak, balas saya.

Ohh....murah juga, akak beli dekat atas tu, 3.00, separuh pula tu daripada satu bekas yang kamu jual ni. Tutur akak tersebut sambil tangannya menunjukkan ke atas, ke arah gerai-gerai di hadapan tempat saya berjaja.

Saya hanya tersenyum sambil tangan terus memasukkan kerisik ke dalam plastik.

Kalau tahu, akak beli dekat kamu ja tadi, tutur akak tu lagi sambil tersenyum. Tangannnya turut menghulurkan wang kertas 1 ringgit sebanyak 3 keping.

Terima kasih kak, jawab saya sambil tangan terus mencari syiling 50 sen dalam bekas yang memang dikhaskan untuk duit syiling. Penjaja kecil seperti saya memang kena bawa wang syiling, senang nak pulang baki duit pelanggan.

Eh, tak payah pulangkan baki tu, kata akak tersebut. 

Tapi kak,

Tak mengapa, akak sedekah sempena hari Jumaat ni, bidas akak tersebut.

Terima kasih kak.

Sama-sama jawab akak tersebut lalu beredar pergi.

Sungguh, mungkin bagi sesetengah orang, 50 sen tiada nilainya, tetapi bagi seorang penjaja seperti saya, setiap sen yang diterima amat bernilai dan bermakna.

Sen yang diterima dan dikumpul untuk dijadikan modal pusingan.

Sen yang diterima dan dikumpul untuk dijadikan untung setelah ditolak modal.

Sen yang diterima dan dikumpul untuk menjadi wang perbelanjaan hidup.

Betapa nilai sen, sama ada 50 sen atau 5 sen sekalipun, begitu memberi kesan dalam perbelanjaan seharian.

Mereka yang mempunyai berjuta ringgit mungkin tidak begitu merasai nilai 50 sen. Tetapi mereka yang tidak begitu berkemampuan, betapa bermaknanya nilai sen yang diterima dan diperolehi dalam hidup mereka.

Terima kasih kak atas sedekah ini, semoga ada balasan yang baik untuk akak di dunia dan akhirat.

Semoga kita semua dimurahkan rezeki untuk dapat bersedekah, tidak kira betapa nilainya, agar menjadi satu keuntungan kepada kita dunia dan akhirat.

Semoga ada manfaatnya "post" kali ini....

insya-Allah...

amin.

Monday, January 2, 2017

Ubi Pulut



Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...


pucuk ubi,khasiat pucuk ubi,ubi pulut
sumber gambar warisan petani.blogspot.com


Sekadar ingin berkongsi mengenai satu jenis sayuran kampung yang agak popular. Ubi pulut, kebiasaannya ubi pulut ditanam bagi mendapatkan pucuknya, pucuk daun Ubi Pulut memang sedap dan seringkali digunakan dalam masakan. Contoh resipi masakan yang selalu digunakan ialah masak lemak pucuk Ubi.


Ciri-ciri pucuk Ubi Pulut:
  1. berbentuk agak tirus dan memanjang
  2. daun mudanya lebih lembut.
sumber: http://warisanpetani.blogspot.my/2016/06/ubi-kayu-2-ubi-pulut.html


Resipi masakan Masak Lemak Pucuk Ubi Pulut

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi pulut yang muda (atau pucuk ubi biasa)
2 batang serai
1 genggam udang kering, rendam 10 minit
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1000 ml santan cair
400 ml pati santan
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili merah, hiris
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, cuci dan rebus hingga empuk. Toskdan, tekan2 dengan belakang senduk untuk keringkan air rebusan. Kemudian kerat2 pucuk ubi rebus tadi pada beberapa bahagian. Serai diketuk. Udang kering ditoskan dan tumbuk hancur.
  2. Dalam periuk, masukkan pucuk ubi, serai, udang kering tumbuk, hirisan bawang besar dan bawang putih Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna) dan cili merah, masak sekejap. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga mendidih dengan api kecil dan kacau sentiasa. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, sambal belacan, ikan goreng atau ikan masin.
Sumber: dapur tanpa sempadan( www.tiffinbiru.com)


Khasiat daun pucuk ubi

  1. Sumber protein
  2. Sumber energi
  3. Mencerdaskan otak
sumber: https://www.tren.co.id/1612/9-khasiat-daun-singkong-yang-tidak-anda-ketahui.html


Oh ya, sedikit tambahan informasi, singkong itu bermaksud ubi, jadi lirik lagu aku suka singkong kau suka keju bermaksud aku suka ubi dan kau suka keju, lagu mengenai seorang yang sederhana yang berasakan tidak mampu atau sesuai untuk bercinta dengan seseorang yang lebih tinggi taraf hidupnya.

p:s- saya juga ada menjual pucuk ubi, seikat rm 1.00, doakan supaya perniagaan saya dimurahkan rezeki. 


semoga ada manfaatnya "post" kali ini,

insya-Allah...

amin.

Saturday, December 24, 2016

Tumpang Niaga


Monday, December 19, 2016

D.I.Y Small Office Home Office (SOHO)


Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Small office home office atau singkatannya S.O.H.O.... bermaksud satu ruangan atau tempat dalam rumah yang diubahsuai atau dikhaskan untuk membuat kerja-kerja pejabat. Maksud mudahnya ruang pejabat di rumah.

Perkembangan teknologi sekarang ni menyebabkan berlakunya perubahan di mana terdapat beberapa negara yang melakukan konsep kerja dari rumah. Maka tercetuslah konsep ruang pejabat di rumah ini. Malah di negara UK, jika terdapat S.O.H.O di rumah mereka, maka mereka boleh minta untuk dikurangkan cukai mengikut beberapa terma dan syarat.

Baiklah, sebenarnya saya teringin untuk mengaplikasi konsep S.O.H.O ini. Walaupun, saya bukan seorang yang bekerja di pejabat sebaliknya seorang penjaja kecil-kecilan tetapi dengan mempunyai ruangan seperti ini memberi manfaat dan keseronokkan terhadap diri.

Maka saya telah membuat satu ruangan S.O.H.O di bilik saya....jom tengok gambar-gambar ruangan S.O.H.O saya:
small office, home office
ruangan S.O.H.O

small office, home office
ruangan S.O.H.O
small office,home office
ruangan S.O.H.O

syukur kepada-Nya, terlaksana juga hasrat nak ada ruangan S.O.H.O ni, buat permulaan dahulu, guna sahaja bahan yang ada.....nanti ada rezeki ubahsuai sedikit demi sedikit,contoh macam alas tikar meja tu saya pakai tikar getah sahaja...nanti tukar alas cantik sedikit, kerusi pun nanti nak tukar macam kerusi pejabat.  Sudah survey dekat Mudah.my dan sudah tempah satu kerusi pejabat, tetapi penjual tu tiada pula dekat Melaka dalam minggu ni, minggu depan baru kerusi pejabat tu sampai, insya-Allah kalau ada rezeki dapatlah kerusi pejabat tu nanti.

Harapnya dekat ada ruangan S.O.H.O ni maka bertambah semangat untuk saya menulis di blog ni, cuma masalahnya dekat dengan katil...takut nanti tengah semangat tulis artikel, tiba-tiba rasa mengantuk terus pergi katil tidur pula.......harapnya tidaklah begitu.


sumber mengenai S.O.H.O: https://en.wikipedia.org/wiki/Small_office/home_office

semoga ada manfaatnya "post" kali ini,

insya-Allah...

amin.



Thursday, November 24, 2016

Daun tenggek burung

Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang....

 daun tenggek burung
sumber gambar:kebunkampung.blogspot.com

Baiklah, sedikit perkongsian mengenai daun tenggek burung.

Daun tenggek burung merupakan daun yang lazimnya dijadikan ulam dalam makanan.Rasanya agak kelat dan biasanya dimakan dengan nasi. Daun tenggek burung juga boleh digunakan dalam masakan nasi kerabu.

Hasil carian saya daripada beberapa laman web mengenai khasiat daun tenggek burung, maka info yang saya dapat mengenai kelebihan makan daun tenggek burung ialah seperti berikut:

1) merawat tekanan darah tinggi
2) melancarkan peredaran darah
3) menyegarkan badan
4) mengecutkan rahim wanita selepas bersalin
5) menghilangkan lenguh di badan

sumber: http://www.khasiatherba.com/ulam/khasiat-pucuk-tenggek-burung.html
              http://warisanpetani.blogspot.my/2016/01/pokok-tenggek-burung.html

Pokok tenggek burung ini difahamkan juga dikenali sebagai pokok cabang tiga atau tapak itik.

Saya ada menjual daun tenggek burung ini di pasar borong Taman Merdeka, Melaka. Harganya cuma RM 1.00 seikat. Jika pembaca atau sesiapa sahaja terbaca "post" ini jika berkesempatan untuk datang ke pasar borong Melaka, dijemput singgah ke tapak niaga saya dan membeli ulam tenggek burung ini. Selain ulam tenggek burung, saya juga ada menjual ulam lain seperti pucuk gajus, ulam raja, pucuk paku dan lain-lain lagi.

Semoga ada manfaatnya "post" kali ini,

insya-Allah...

amin.


Sunday, September 4, 2016

PISANG KAPAS



Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Mengasihi dan Maha Penyayang...


Sedikit perkongsian mengenai pisang kapas....

Image result for pisang kapas malaysia
sumber gambar:google.com


Sebenarnya saya tidak tahu pasal pisang...cuma selalunya semasa membantu emak berniaga di Pasar Borong,emak akan membawa pisang kapas untuk dijual.........

Pisang kapas ini biasanya dihantar oleh pembekal atau orang kampung yang ada menanamnya....

Semasa berniaga,seorang pakcik/pelanggan telah datang dan menerangkan hal-hal mengenai pisang,jenis-jenis pisang dan macam-macam lagi........

Saya tak faham sangat, jadi saya telah membuat carian di google...adalah sedikit sebanyak info mengenai pisang tapi saya masih tak begitu jelas....

Ilmu mengenai pisang ni menarik....sebab ada banyak jenis pisang rupanya..........cara-cara mengenal pisang dan macam-macam lagi....tapi membaca dari internet sahaja tak mencukupi rasanya....kena cari cikgu khas pasal pisang nampak gayanya saya ni.........baru mudah sedikit nak faham....

Jadi antara blog yang saya layari....blog warisan pertanian ada menerangkan mengenai pisang kapas ini dengan agak jelas.....boleh layari laman blog warisan pertanian untuk info lanjut.......

Sedikit sebanyak info yang saya dapat mengenai pisang kapas daripada blog warisan pertanian ini ialah:

1)Pisang kapas yang muda sesuai dimasak untuk dijadikan lauk.

2)Daun pisangnya lebar dan tebal

3)Jantung pisang kapas boleh dijadikan sayuran.


Saya sertakan sekali resipi masak lemak pisang kapas dengan ikan masin( resipi ini saya ambil daripada blog Dapur Tanpa Sempadan)


BAHAN-BAHANNYA :-)
2 sisir pisang kapas muda
5-6 ketul isi ikan masin kurau
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
1 keping asam gelugor
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
1)Pisang dicuci, kemudian, siat sedikit kulitnya dan rendam. Pisang dihiris serong sederhana tebal dan rendam dalam bekas yang berisi kulit pisang, masukkan asam gelugor ke dalam air rendaman untuk mengelakkan pisang bertukar warna. Ikan masin kurau dicuci dan rendam 1 jam. Ketepikan.

2)Toskan pisang, masukkan ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, serai titik dan santan cair (jika perlu tambah sedikit air). Kacau rata dan masak hingga mendidih dan pisang 1/2 empuk. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna) dan ikan masin tadi (toskan).

3)Kacau rata dan tuang pati santan. Masukkan daun kunyit dan lada hitam tumbuk, biar mendidih dengan api kecil dan kacau selalu. Tambah sedikit garam dan gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng.


sumber resipi:http://www.tiffinbiru.com/2014/06/resipi-gulai-pisang-muda.html

sumber informasi mengenai pisang kapas:http://warisanpetani.blogspot.my/2016/01/pisang-kapas.html


saya rasa mungkin di sesetengah negeri mereka tidak memanggilnya pisang kapas....


semoga ada manfaatnya "post" kali ini....


insya-Allah....

amin.

Friday, August 5, 2016

Lawak Dol Seorang Salesman



Panduan untuk mula berniaga>Klik sini<


Rintihan para graduan>Klik sini<

Saturday, March 19, 2016

Mizi Si Penjual Roti




Sebenarnya aku pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penjaja roti seperti lukisan yang aku lukis di atas...tetapi ianya sekadar angan-angan....

Setiap kali aku cuba untuk memulakan langkah dalam merealisasikan cita-cita pelbagai perkara yang terlintas dalam fikiran aku~

isyh...malu pula rasa nak berniaga macam ni,bagaimana kalau ada kawan aku yang nampak?cikgu ke saudara-mara ke yang nampak....malu rasanya.....

ada orang beli ke nanti?takut nanti minyak motor habis,roti satu pun tak terjual...

mana nak dapat bekalan roti? aku mana tahu nak buat roti,makan roti pandailah...

kena ada lesen ke nak berniaga macam ni? takut nanti motor dengan aku sekali kena angkut dengan majlis perbandaran ke,penguatkuasa ke......

dan pelbagai lagi perkara yang melintas dalam fikiran aku.....sudahnya ianya kekal sekadar angan-angan tanpa sebarang tindakan daripada aku..... aku pernah mengambil nombor telefon pemandu lori roti yang sedang menghantar bekalan roti ke kedai-kedai untuk dijadikan sebagai pembekal aku...tetapi kini nombor telefon pemandu roti itu pun aku sudah tidak tahu ke mana hilangnya...

nampaknya aku lebih teruk daripada Mat Jenin...kerana Mat Jenin ada juga tindakan yang dilakukan dalam merealisasikan cita-citanya cuma Mat Jenin berangan semasa dalam melakukan pekerjaan.....manakala aku hanya sekadar berangan tanpa ada sebarang tindakan....

Tetapi tidak tahu mengapa,dalam hati ku masih ada rasa teringin hendak melakukan kerja seperti ini,setiap kali melihat penjaja roti,penjual aiskrim,dan penjaja kuih-muih timbul keinginan yang meluap-meluap untuk melakukan kerja yang sama seperti mereka....

Moga satu hari nanti aku dapat melaksanakan angan-angan aku ini......

Insya-Allah....


amin.

Monday, March 14, 2016

Cabaran dalam berniaga~payung dicuri orang



Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...




Hari ini diuji Allah s.w.t dengan sedikit dugaan semasa berniaga...


Image result for payung berniaga besar



Sewaktu hendak mengambil payung berniaga untuk melindungi diri daripada panas...tergamam dan terkejut bila melihat hanya tinggal kaki payung sedangkan tiangnya sudah tiada........

Tergaman seketika.........

Mana perginya payung ni bisik hati....

Mata mencari-cari jika dapat mengecam payung sendiri...tetapi hampa kerana payung berniaga yang digunakan oleh peniaga lain hampir sama semuanya........

Hati mula terasa sakit.....darah mula terasa panas.........kegeraman mula  menguasai diri

Hendak dimaki sahaja sekiranya dapat berjumpa dengan makhluk yang mengambil payung tanpa izin ini.....

Segala yang dilakukan rasa serba tidak kena.......

"Payung itu sudah dikunci.....tetapi bagaimana masih boleh diambil lagi?" fikirku.........

Mengambil keputusan untuk pulang sahaja.........hendak berniaga seperti tiada semangat pula.....

Sebelum nafsu marah lebih menguasai diri,mulut tidak henti dengan sumpah seranah,lebih baik balik sahaja............

Sepanjang perjalanan pulang, terasa kesal dengan sikap  segelintir peniaga yang majoritinya bangsa aku......suka mengambil barang orang lain tanpa izin......

Mengapa ada manusia seperti ini di atas muka bumi ini? suka menyusahkan hidup manusia lain......adakah merasa berasa sudah cukup hebat? kenapa hendak mengganggu hidup orang lain?

Pelbagai ragam manusia ini, moga aku diberikan kesabaran dalam terus berniaga,dalam kehidupan dan moga Allah s,w.t menggantikan payung aku yang hilang itu dengan perkara yang lebih baik...lebih bermakna.......

insya-Allah...

mudah-mudahan......

amin.