Wednesday, December 13, 2017

Review filem Jibam

Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera...


Syukur kepada-Nya, baru-baru ini saya berkesempatan menonton filem Jibam.




Jibam merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada novel hasil karya pelukis terkenal iaitu saudara Ujang, atau nama sebenarnya Ibrahim Anon. Ujang merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pengeluaran majalah lawak popular dahulu iaitu majalah Ujang, majalah Gila-Gila serta merupakan antara individu penting yang membawa siri animasi popular tahun 90-an, Usop Sontorian.

Okey, berbalik kepada filem Jibam, sebenarnya secara jujur saya kurang berminat untuk menonton wayang, kebiasaannya saya hanya pergi kalau diajak kawan-kawan dan selalunya mereka yang belanja tiket wayang,hahaha, terima kasih ya sahabat. Filem Jibam ini jika tidak silap saya arahan "Che Mie"

Saya mula teringin hendak menonton filem Jibam hasil daripada "review" beberapa "social media influencer" di laman facebook mereka.  Majoriti mereka memberi komen yang Jibam merupakan sebuah filem wajib tonton dan sesuai untuk seisi keluarga, malah rata-rata mereka memberi "rating" 8/10 untuk filem Jibam ini.

Selain itu, saya juga terbaca yang filem Jibam ini akan ditarik balik tayangannya di pawagam. Hal ini kerana filem ini kurang mendapat sambutan sekaligus untuk mengelakkan kerugian untuk tauke panggung selain faktor filem Jibam ini terpaksa bersaing dengan filem lain yang mempunyai bajet besar seperti Star Wars.

Maka disebabkan faktor-faktor ini, maka saya membuat keputusan menonton filem Jibam ini sebagai tanda sokongan kepada sebuah filem tempatan hasil karyawan di Malaysia.

Okey, secara jujur semasa membeli tiket Jibam ini, tidak banyak pilihan waktu tayangan yang ada, saya sampai ke tempat panggung wayang jam 5 petang, dan waktu tayangang bagi filem Jibam yang ada ialah pukul 11 pagi,kalau saya tidak silap, pukul 6.40 petang,ini juga tidak sesuai dibeli sebab durasi bagi filem Jibam anggarannya adalah 1 jam 40 minit, sukar pula nak sembahyang Maghrib nanti, dan akhirnya saya membeli tiket jam 9 malam, dan ini sahaja merupakan pilihan tayangan waktu yang tinggal.

Semasa membeli dan membuat pilihan tempat duduk, saya lihat terdapat tidak lebih daripada sepuluh orang sahaja yang membeli tiket filem Jibam ini. 

Okey, penonton boleh mula masuk ke dalam bilik pawagam lebih kurang lima minit sebelum 9 malam, maka dengan semangat berkobar-kobar saya mula masuk ke dalam bilik pawagam dengan harapan supaya filem Jibam ini seronok dan tidak menghampakan saya.

Jujurnya bilangan penonton saya rasa dalam anggaran 10 ke 20 orang sahaja, sebab rasanya ada dua keluarga yang menonton, bilangan ahli keluarga ini dalam 3 ke 4 orang, yang datang berdua atau berpasangan rasanya dalam  4 orang, dan yang datang menonton seorang diri dalam 2 ke 3 orang termasuk saya.

Perkara pertama yang tidak seronok dialami,saya terpaksa menonton iklan-iklan yang dipaparkan terlebih dahulu sebelum filem Jibam bermula. Iklan-iklan terlalu banyak, malah terpaksa menunggu hingga 20 minit sebelum filem Jibam ditayangkan.  Saya masuk bilik pawagam itu jam 9 malam,pukul 9.20 malam barulah filem Jibam dimulakan. Hampir 20 minit lamanya terpaksa menunggu.Mungkin iklan-iklan ini ada memberi bantuan dan sumbangan kepada filem Jibam jadi sebagai syarat, maka iklan-iklan mereka ini harus ditayangkan. Barangkali juga ini merupakan perkara biasa sebelum sebuah filem bermula, saya jarang menonton wayang tetapi seingat saya tidak pernah pula terpaksa menunggu selama ini sebelum sebuah filem bermula.

Filem Jibam bermula dengan adegan menunjukkan keindahan hutan,kampung, pokok-pokok yang menghijau dan kelahiran Asyraf atau lebih dikenali sebagai Jibam. Memang sepanjang menonton filem Jibam ini, rasa terpukau dengan pemandangan dan suasana kampung yang ditonjolkan dalam filem Jibam ini.

Jibam merupakan seorang anak istimewa, tetapi istilah yang sering dipanggil "cacat" bukan kecacatan fizikal tetapi dalam bahasa mudah seperti budak yang agak terencat atau sedikit lembab akal fikirannya.

Bapa Jibam, Suman asalnya merupakan seorang dukun, tetapi kemudiannya merajuk dengan fitnah yang dilemparkan kepadanya lalu mengambil keputusan membawa keluarganya berpindah dan meneroka hutan lain serta memulakan hidup baru sebagai pencari rotan. 

Filem Jibam banyak memberi tumpuan kepada Jibam yang selalu "mengacau" Tok Ngah Sudin.
Tok Ngah Sudin merupakan antara watak penting dalam filem Jibam. Jika dilihat watak Tok Ngah Sudin yang perlu dibawa oleh pelakon memang penat dan mencabar.

Filem ini memberi tumpuan kepada banyak nilai seperti kasih sayang seorang emak kepada anaknya, kasih seorang abang yang dilihat kasar tetapi sebenarnya sangat menyayangi adiknya.

Selain itu, filem Jibam juga memberi penekanan tentang sikap hasad dengki, cemburu dengan orang lain hanya akan menyebabkan penderitaan kepada dirinya sendiri.

Filem ini juga mengetengahkan golongan masyarakat kampung yang kampung mereka terpencil jauh sehingga rata-rata penduduk mereka hanya menggunakan basikal sebagai alat pengangkutan. Kenderaan lain seperti kereta dan motorsikal amat jarang sekali masuk kampung mereka. Malah jarak daripada kampung mereka untuk ke klinik amat jauh. Saya tidak ingat pula berapa batu/kilometer yang disebut tetapi yang pastinya amat sukar bagi penduduk untuk ke klinik. 

Justeru, filem ini tidak menampilkan adegan seperti minum atau makan di restoran mewah, memakai pakaian berjenama, memegang jawatan tinggi dalam sesebuah syarikat atau merupakan seorang anak kepada golongan kaya. Malah saya rasa filem Jibam ini tidak mempunyai heroin, watak anak perempuan Tok Ngah Sudin juga saya rasa hanya sekadar untuk melengkapkan filem ini dan bukannya sebagai seorang heroin. Jika ada heroin pun, rasanya jatuh kepada watak Mak Peah, emak kepada Jibam kerana kasihnya seorang emak terhadap anak dan ketabahannya membesarkan anak-anak lebih-lebih lagi anak seperti Jibam.

Adegan dalam filem ini seperti minum atau mengeteh di warung, pelbagai topik yang dibawa, malah sehingga sekarang ada satu watak tambahan yang dibawa dalam filem Jibam ini yang agak menarik minat saya, watak ini semasa di warung hanya mendiamkan diri sahaja dan mendengar segala perkara yang berlaku di warung. Barangkali watak tersebut mempunyai makna yang tersirat.

Tumpuan filem ini juga turut terarah kepada isu yang dialami sejak zaman-berzaman oleh bangsa Melayu, iaitu isu perebutan tanah dalam kalangan adik-beradik, orang kampung dan juga bagi pandangan saya,ada juga diselitkan bagaimana terdapat pihak yang akan cuba pelbagai cara untuk mendapatkan tanah.

Namun yang pastinya filem ini fokus utamanya tentu terhadap watak utama dalam filem ini, Asyaf atau lebih popularnya dikenali sebagai Jibam.

Bila melihat babak-babak yang terdapat dalam filem Jibam ini, perasaan sedih,emosi bercampur-aduk dengan jenaka. Sukar nak diterjemahkan, hanya dengan menonton filem ini, maka perasaan ini benar-benar dapat dihayati dan dialami sendiri oleh penonton.

Okey, cuma bagi saya perkataan atau dialog seperti "gila" atau "mampus" tidak perlu digunakan atau diulang dengan kerap sebab perkataan ini tidak sesuai didengar oleh kanak-kanak. Takut mereka terikut-ikut pula dengan perkataan seperti ini. Sekiranya tiada perkataan seperti ini, maka filem Jibam ini memang benar-benar sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga termasuk kanak-kanak.

Filem Jibam ini bagi saya, pada pandangan seorang kanak-kanak ini memberi kesedaran tentang perkara yang sejak dahulu lagi sudah diajar kepada kita semua, sikap cemburu,hasad dengki dan tamak haloba hanya akan merugikan diri sendiri selain tidak elok mengejek kanak-kanak yang lembab akal fikirnya, sebab kita semua sama sahaja, hanya manusia biasa.

Manakala,pada pandangan seorang dewasa, barangkali banyak lagi maksud tersirat yang terdapat dalam filem ini.

Selain itu, perkara yang agak mengecewakan saya ialah seolah-olah klimaks filem Jibam ini terlalu cepat, semasa rasa ingin tahu semakin membuak-buak timbul semasa menonton filem Jibam ini tiba-tiba sahaja filem Jibam ini hampir ke kemuncak dan tamat. Ini hanya pandangan peribadi saya, sebab terasa seolah-olah banyak lagi perkara yang tidak dirungkaikan dan tiba-tiba tamat begitu sahaja. Bukanlah bermaksud filem Jibam ini tergantung tetapi rasa seolah banyak lagi perkara yang belum dijelaskan.

Okey, saya rasa inilah pandangan atau "review" ikhlas saya terhadap filem Jibam. Ini merupakan pandangan peribadi, malah saya tidak mendapat sebarang bayaran untuk membuat "review" ini. Saya hanya berkongsi pengalaman dan pendapat saya terhadap filem Jibam ini. Saya tidak akan memberi sebarang "rating" sebab rasanya tidak wajar,  filem Jibam bukanlah sebuah filem yang sempurna tetapi ada maksud dan maknanya yang tersendiri. 

Saya juga ada terbaca di facebook saudara Ujang yang filem Jibam juga akan dilanjutkan seminggu lagi kalau tidak silap saya, jadi sekiranya anda membaca atau terbaca "post" ini dan belum menonton lagi filem Jibam, pergilah menonton sebagai tanda sokongan kepada filem tempatan yang lain daripada kebiasaannya, sebab dengar khabarnya filem Jibam ini tidak akan ditayangkan di Astro First.
Image result for jibam


Terima kasih kerana sudi membaca sehingga habis "post" ini...

semoga ada manfaatnya "post" kali ini.

insya-Allah...

amin.

12 comments:

Farhana Jafri said...

ada juga baca posting Ujang tu tapi rasanya area sini tak tayang movie Jibam ni.

Fatin Shahrizam said...

Berapa bintang? Teringin nak tengok sendiri. Tengok teaser macam sedih ada, lawak pon ada.

Warisan Petani said...

Jom tonton filem Jibam

At-Tarmizi said...

farhanna jafri memang dengarnya banyak tempat yang tak tayangkan filem ini

At-Tarmizi said...

Fatin Shahrizam jujurnya saya bagi 3.5 bintang...tapi filem ini memang agak berbeza dengan filem Malaysia yang lain, sedih,lawak semua ada bercampur-campur, jika ada masa dan kelapangan,pergilah menonton =)

At-Tarmizi said...

Warisan Petani saya dah tonton dah, jika WP ada masa dan kelapangan pergilah menonton filem Jibam ni =)

Etuza said...

No happy anding lah JIBAM ni..tu yag Etuza agak tak suka filam no happy anding ..apapyn tahniah sokong film Melayu film kita

At-Tarmizi said...

Etuza Etuza dah tonton ke Cikgu? bagi saya memang cerita ni macam tergantung sikit tapi ok lah filem Malaysia yang tema utamanya bukan pasal jiwang semata-mata =)

Sha Mohamed said...

Kalaulah pawagam dekat, memang saya suppor filem ini.. Saya hanya mampu baca ulasan kawan-kawan sahaja.. Huhuhu.. Tapi saya dah baca novelnya.. Memang best.. Banyak pengajarannya..

At-Tarmizi said...

Shahida Dzulkafli saya tak pernah baca novel Jibam, tapi memang banyak pengajaran daripada filem Jibam ni =)

KiD said...

jibam ni lebih kepada cenderahati untuk peminat novelnya sahaja, aspek emosi lebih diterapkan pada novel berbanding filem
cuma watak jibam agak sukar dibawa dengan penuh emosi.

At-Tarmizi said...

KiD saya tak baca novelnya,jadi sukar sikit nak faham movie ni

Post a Comment