Dengan nama Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi...
sumber gambar: google images
Pagi tadi, semasa sedang menukar tayar motorsikal abang saya yang "botak" bermakusd tayar bunganya sudah tiada, terdapat sebuah keluarga yang turut datang ke bengkel tersebut dengan menaiki motorsikal.
Keluarga itu terdiri daripada pasangan suami isteri yang masih muda, saya kira dalam lingkungan 30-an, bersama-sama dua orang anaknya yang masih kecil, seorang perempuan dan seorang lelaki atau kedua-duanya perempuan, saya pun tidak pasti.
Tetapi, yang menarik minat saya ialah keluarga tersebut datang ke bengkel itu bukan untuk membaiki motorsikal, sebaliknya datang untuk menjual motorsikal. Barangkali motorsikal yang dinaiki sebab saya melihat si isteri semasa berbincang dengan tauke bengkel tersebut kerapkali menunjuk ke arah motorsikal tersebut.
Tujuan menjual motorsikal itu barangkali untuk membeli motorsikal yang lain atau mungkin juga atas faktor ekonomi keluarga.
Sebenarnya yang menarik minat saya semasa keluarga ini datang ke bengkel tersebut, kenangan saya semasa kecil tiba-tiba datang kembali ke ingatan saya.
Sewaktu itu, arwah bapa saya, bersama-sama dengan emak saya akan membonceng motorsikal Suzuki RC atau panggilannya motor kapcai. Saya pula duduk di tengah-tengah antara mak dan arwah bapa saya.
Tidak begitu selesa tetapi terasa ianya satu memori yang sukar dilupakan.
Saya percaya, nanti sewaktu kedua-dua anak pasangan tersebut semakin membesar, mereka juga akan menyimpan dan menghargai kenangan saat-saat mereka sekeluarga menaiki motorsikal tersebut untuk menuju ke sesuatu destinasi.
Tidak begitu selesa tetapi memberi pengalaman yang bermakna dalam kehidupan.
Kini, motorsikal arwah bapa saya juga sudah lama dijual, malah saya juga kini mempunyai motorsikal sendiri, walaupun bukan motorsikal yang mahal harganya tetapi saya bersyukur kerana mempunyai kenderaan yang membolehkan dan menyenangkan saya untuk bergerak.
Saya yakin dan percaya dalam kalangan pembaca atau sesiapa yang terbaca "post" ini pasti mempunyai pengalaman dan kenangan seperti ini.
Pengalaman dan kenangan yang memberi makna tentang nilai sebuah keluarga, susah-payah seorang ayah dan ibu dalam membesarkan anak-anak, serta kemanisan pengalaman yang mungkin sudah tidak dapat dirasai lagi.
Semoga setiap ayah,bapa,abi dalam dunia ini selamat dunia dan akhirat.
Semoga setiap ibu, emak, umi dalam dunia ini selamat dunia dan akhirat.
Semoga ada manfaatnya "post" kali ini.
insya-Allah...
amin.